Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penerbitan kertas putih mengenai Pelan Insurans atau Takaful Perubatan Kesihatan adalah antara empat inisiatif dipersetujui bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Ketetapan itu dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan KesihatanSwasta (JBMKKS) yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini, hari ini.

Bercakap pada sidang media seelepas mesyuarat JBMKKS , Amir Hamzah berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memberi liputan wajar kepada individu memerlukan perlindungan penjagaan kesihatan swasta.

Selain itu, katanya, ia juga bagi memberi liputan wajar kepada individu mencari pilihan tambahan susulan pelarasan semula premium atau perubahan pada pelan sedia ada.

Inisiatif ini dijangka mendorong penambahbaikan ke arah penawaran perlindungan insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) lebih mampan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).

“Ini dengan menyediakan garis asas yang lazim dan boleh diakses bagi perlindungan dan penetapan premium serta amalan pengunderaitan (penilaian risiko) dan tuntutan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Timbalan Gabenor BNM, Aznan Abdul Aziz dan Datuk Jessica Chew.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab.

Inisiatif itu sebahagian daripada strategi Inisiatif Kawalan Inflasi Perubatan (RESET) iaitu kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, BNM, ahli akademik dan pihak berkepentingan.

RESET bertujuan menangani inflasi tuntutan perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara supaya dapat diakses dengan lebih mudah, lebih banyak pilihan dan mapan.

Amir Hamzah berkata, JBMKKS juga bersetuju melancarkan bantuan untuk pengguna membuat keputusan, bertujuan membantu individu merancang kewangan penjagaan kesihatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, alat baharu diperkenalkan, termasuk Panduan Mudah MHIT dan Kalkulator Persediaan Insurans atau Takaful bagi Kemasukan ke hospital dan pembedahan (HSIT).

Beliau berkata, ini bagi menilai keperluan insurans, membuat tuntutan dan merancang belanjawan peribadi.

“Selain itu, bagi meningkatkan ketelusan pasaran, julat kos penanda aras untuk prosedur perubatan lazim di hospital swasta sudah diterbitkan, sebagai rujukan jelas bagi perbelanjaan rawatan.

“JBMKKS juga bersetuju memperkenalkan insentif cukai bagi dana kebajikan hospital swasta yang boleh dimohon oleh pengendali bagi menubuhkan dana kebajikan.

“Ini bagi menggalakkan dan membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit kurang bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly menyifatkan RESET sebagai pencapaian penting bagi pendekatan seluruh negara.

“Dengan memberikan keutamaan kepada penjagaan berasaskan nilai, usaha ini memastikan hasil kesihatan kukuh terus menjadi teras dalam usaha mengurangkan inflasi dan memastikan penjagaan kesihatan terus mampu milik.

“Inisiatif sektor swasta ini melengkapkan sistem penjagaan kesihatan awam, selain memastikan penjagaan berkualiti terus boleh diakses semua rakyat, tanpa mengira sama ada mendapat perkhidmatan daripada swasta atau awam untuk jangka panjang,” katanya.

BNM pula menjelaskan, kertas putih mengenai Pelan Insurans atau Takaful Perubatan Kesihatan ibangunkan untuk mencapai objektif dasar awam, antaranya mempercepat kemajuan ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan perlindungan kewangan tahap asas bagi menghadapi perbelanjaan penjagaan kesihatan penting dan berimpak tinggi, selain menyalurkan perbelanjaan dengan lebih cekap bagi melengkapi secara lebih baik akses sejagat kepada perkhidmatan kesihatan awam.

“Reka bentuk produk mengambil kira maklum balas dan input daripada lebih 60 libat urus dengan pihak berkepentingan utama dan kumpulan pengguna serta analisis terperinci ke atas data tersedia bagi memastikan produk selaras matlamat pembaharuan dan keperluan pasaran.

“Pelan MHIT asas ini adalah pelengkap kepada sistem penjagaan kesihatan awam yang akan terus menyediakan Perlindungan Kesihatan Sejagat untuk semua rakyat, selain direka untuk memberi pilihan kepada pesakit.

“Dengan memastikan perlindungan swasta mampu milik, lebih ramai rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan swasta, sekali gus memperkukuh peranan pelengkap antara sektor awam dan swasta,” katanya.-BH Online