BENTONG, 22 Januari – Pembinaan Negara Madani perlu digerakkan seiring dengan kemajuan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan tanpa mengabaikan nilai serta prinsip kemampanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan negara perlu diseimbangkan antara penguasaan teknologi dan pegangan nilai bagi melahirkan tenaga pakar seperti jurutera, saintis serta pakar teknologi maklumat yang berkeupayaan memacu pembangunan negara.
“Negara Madani itu tidak mahu ketinggalan. Mesti ada kemampanan. Kita mesti merebut apa yang kita sebut sebagai menggapai teknologi baharu seperti AI dan digital.
Namun bezanya dengan dasar-dasar pembangunan lain, pendekatan ini mengakar ke bumi kerana kita meletakkan prinsip nilai, ihsan dan rahmah, bukan sekadar pada teori dan falsafah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Sekolah Agama Rakyat Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Saidatina Aisyah di Taman Harmoni, di sini.
Bersempena majlis berkenaan, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meluluskan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada sekolah tersebut bagi kerja-kerja pembaikan fizikal, sekali gus meningkatkan keselesaan pembelajaran pelajar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata peruntukan sebanyak RM2.6 bilion disediakan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam.
“Tadi disebut memang peruntukan kita tambah dan jumlahnya bukan kecil. Ketika saya mengambil alih, peruntukan itu sekitar RM1.2 bilion dan kini kita tingkatkan kepada RM2.6 bilion, termasuk bantuan kepada sekolah agama rakyat yang daif dengan tambahan sebanyak RM200 juta,” katanya.
Datuk Seri Anwar menjelaskan, penyaluran peruntukan berkenaan akan diteliti secara menyeluruh melalui pegawai daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi mengenal pasti keperluan sebenar.-Berita RTM
