KUALA LUMPUR, 22 Januari – Rundingan berkaitan Kod Tatalaku (Code of Conduct, CoC) Laut China Selatan kini mencapai tahap 70 peratus dan dijangka dapat dimuktamadkan tahun ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebahagian besar perkara yang dibincangkan dalam kod tatalaku berkenaan telah dipersetujui oleh semua pihak terlibat.
Menurut beliau, proses perundingan memerlukan penelitian rapi bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas, namun perkara-perkara utama telah berjaya diselesaikan.
“Perbincangan dokumen antarabangsa seperti ini memerlukan rundingan yang halus. Kita perlu pastikan kedaulatan negara tidak terjejas. Setakat ini, perkara-perkara utama sudah dapat diselesaikan dan hanya beberapa perenggan sahaja lagi yang belum dimuktamadkan.
“Apabila 70 peratus sudah dipersetujui, kita akan tamatkan dan muktamadkan Kod Tatalaku ini supaya Laut China Selatan kekal sebagai laluan perdagangan yang bebas dan kawasan yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan Malaysia memainkan peranan aktif sebagai Country Coordinator ASEAN–China, termasuk menubuhkan Rapid Discussion Group serta Joint Working Group on Senior Officials’ Meeting on COC (SOM on CoC) bagi mempercepatkan proses rundingan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen untuk menyelesaikan pertindihan kawasan atau tuntutan wilayah.
Sebaliknya, katanya, CoC berfungsi sebagai kerangka tatakelakuan bersama bagi memastikan perairan tersebut kekal aman, bebas dan selamat.
“Code of Conduct ini bukan instrumen untuk menyelesaikan pertindihan kawasan. Isu pertindihan diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala. CoC ini adalah satu kerangka supaya Laut China Selatan menjadi laut yang bebas, laluan perdagangan dan sentiasa selamat untuk digunakan oleh semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin.
Sementara itu, menyentuh perkembangan berkaitan perairan Batu Puteh, Datuk Seri Mohamad berkata rundingan bersama Singapura masih berlangsung dan perbincangan dijalankan berlandaskan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.-Berita RTM
