KUALA LUMPUR: Penggunaan khidmat ‘coach cerai’ tidak seharusnya menjadi amalan atau normalisasi dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana ia berisiko mendorong pasangan ke arah perceraian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata masyarakat Islam seharusnya merujuk kepada institusi berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung sebarang permasalahan berkaitan isu rumah tangga.
“Bagi isu melibatkan ‘coach cerai’ ini, sekiranya perlakuan mana-mana individu didapati melanggar mana-mana peruntukan undang undang, individu tersebut boleh disabitkan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Isu ‘coach cerai’ ini memberi pengajaran bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang tepat.
“Nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan.
“Masyarakat perlu sedar bahawa Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan yang adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian tegas terhadap trend penggunaan khidmat ‘coach cerai’ di media sosial.
Dengan mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti termasuk kaunselor bertauliah dan Mahkamah Syariah, Zulkifli berkata ia bukan saja melindungi hak serta tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmat.
Menerusi pendekatan itu juga, beliau berkata setiap masalah diselesaikan berpandukan syariat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang.-BH Online
