Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan smart lane di lebuh raya negara membantu penurunan kadar kemalangan di beberapa lokasi utama, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif itu dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata hasil analisis keselamatan mendapati pelaksanaan smart lane di laluan seperti Putra Mahkota-Southville menunjukkan pengurangan kadar kemalangan sehingga 22 peratus, manakala laluan Rawang-Persimpangan Rawang merekodkan penurunan ketara iaitu 74 peratus, berbanding tempoh sebelum pengaktifannya.

“Secara keseluruhannya, kadar kemalangan di zon smart lane sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui zon tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu jumlah kemalangan di smart lane serta mekanisme pemantauan keselamatan kementerian bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

Inisiatif smart lane merupakan pengaktifan lorong kecemasan untuk kegunaan kenderaan ringan bagi menambah kapasiti laluan, terutamanya semasa waktu puncak atau musim perayaan, bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

Nanta memaklumkan kebanyakan insiden kemalangan direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan kecuaian manusia seperti memandu laju di zon smart lane, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dan penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi smart lane (pencerobohan lorong).

Bagi strategi jangka panjang, beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) komited melaksanakan penyelesaian infrastruktur lebih mampan, antaranya pelaksanaan projek pelebaran dan naik taraf lebuh raya iaitu Projek Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Machap secara berfasa serta Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) untuk mengurangkan kesesakan.

“Projek pelebaran lorong di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak juga untuk mengurangkan kesesakan lebuh raya terutama semasa musim perayaan, selain peralihan kepada sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow(MLFF) bagi melancarkan lagi proses pembayaran tol dan mengurangkan kesesakan di plaza tol,” katanya.

Pada masa sama, Nanta berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau keadaan trafik melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari Pusat Pengurusan Trafik serta bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan tiada penyalahgunaan smart lane.-BH Online