KUALA LUMPUR: Pasaran baharu eksport minyak sawit membabitkan negara Asia Barat, Afrika Utara, Sub-Sahara Afrika dan ASEAN menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport komoditi itu sepanjang tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ia adalah hasil strategi kepelbagaian pasaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).
“Kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memperkukuh kehadiran di pasaran berpotensi tinggi seperti Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah, Afrika Utara dan ASEAN.
“Hasilnya, pada tahun 2025, pasaran baharu ini menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia sementara eksport pasaran tradisional hanya 30 peratus berbanding 43 peratus pada tahun 2024,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) yang meminta menteri menyatakan pelan strategik kementerian bagi memastikan industri sawit negara kekal stabil dan berdaya saing.
Pada masa sama, Noraini berkata, bagi memenuhi keperluan pasaran dan peraturan antarabangsa, kementerian juga sedang membangunkan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) Komoditi Sawit.
Katanya, ia adalah bagi mengintegrasikan data rantaian bekalan sawit termasuk rekod pelesenan, transaksi rantaian bekalan, pemetaan geolokasi dan poligon, serta maklumat pensijilan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Selain itu, penubuhan Palm Oil Research and Technical Service Institute of MPOB (PORTSIM) di Shanghai, China turut memperkukuh hubungan industri dan perdagangan Malaysia dan China melalui pemindahan teknologi, inovasi produk dan pembangunan aplikasi baharu sawit,” katanya.-BH Online
