Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 20 Januari – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 ditetapkan sebagai hala tuju utama pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, pelan strategik berkenaan bakal menjadi dokumen induk yang merangka pembangunan universiti, politeknik dan kolej komuniti selari dengan perubahan global, keperluan industri serta cabaran masa depan negara.

Dr Zambry menjelaskan RPTM 2026–2035 merupakan kali pertama pendidikan negara digariskan melalui pelan jangka panjang yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan, tanpa bergantung kepada perunding luar.

Menurut beliau, pelan itu bukan sekadar dasar pentadbiran, sebaliknya berperanan sebagai asas membentuk pendidikan tinggi yang berteraskan kemanusiaan, berpaksikan tujuan dan berperanan sebagai pembina negara.

“Pendidikan tinggi ialah ‘brain of the nation’. Jika institusi ini gagal memainkan peranan, negara akan kehilangan arah tuju,” katanya ketika berucap pada Perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini,

Tambah beliau, RPTM 2026–2035 juga akan menjadi dokumen hidup yang sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), peralihan daripada STEM kepada STEAM, kelestarian, inovasi penyelidikan serta pengukuhan peranan politeknik dan kolej komuniti.

Dr Zambry berkata semua program sedia ada kementerian akan diteruskan bagi memastikan kesinambungan dasar, sementara pelaksanaan RPTM akan melibatkan ribuan pihak berkepentingan termasuk institusi pengajian tinggi, industri dan masyarakat.

Beliau menegaskan kejayaan pelan itu bergantung kepada keupayaan semua pihak menterjemahkan dasar kepada tindakan sebenar di peringkat pelaksanaan demi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.