Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026 didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan ekonomi domestik yang rancak, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata prestasi ekonomi negara pada tahun ini juga turut dipacu oleh usaha kerajaan yang menambah baik sistem penggajian penjawat awam.

“Ekonomi negara mencatatkan pencapaian yang baik pada tahun lepas dan jumlah FDI yang masuk ke Malaysia juga adalah baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada tahun lepas.

​Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah selepas negara masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif pada tahun lepas selain kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 4.9 peratus bagi keseluruhan 2025, menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024. ​

Amir Hamzah berkata Malaysia telah mencatatkan kejayaan dalam penganjuran ASEAN pada tahun lepas dan berjaya menarik perwakilan dari pelbagai negara ke Malaysia, termasuk dari negara-negara besar yang dahulunya tidak pernah aktif di rantau ini.

“Ini menunjukkan Malaysia terus diiktiraf dan mereka turut menyuarakan hasrat untuk mempunyai interaksi yang lebih baik dengan Malaysia,” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bermula hari ini dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu.

​Berdasarkan takwim di laman web rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari itu akan menyaksikan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti dengan sesi perbahasan usul berkenaan selama tujuh hari mulai 20 Januari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari.– BERNAMA