KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa jenayah rasuah yang berjaya dibongkar setakat ini hanya “sekelumit daripada segunung” perlu menjadi amaran dan peringatan kepada semua pihak, yang gejala itu boleh berlaku dalam pelbagai jabatan serta institusi jika tidak dibendung.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata beliau menyokong seruan Sultan Ibrahim supaya rakyat menjadi mata dan telinga, selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara cepat, tegas dan menyeluruh.
Pada masa sama, keperluan menyediakan hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah wajar diberi perhatian supaya kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya menyokong ketegasan baginda bahawa segala perancangan dan usaha membangunkan negara tidak akan menjadi sempurna selagi amalan rasuah masih berleluasa.
“Sewajarnya rasuah mesti diperangi secara besar-besaran tanpa memilih pangkat atau kedudukan serta tindakan tegas perlu dikenakan,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air kepada BH, hari ini.
Ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, baginda percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang ada.
Baginda yakin ada ramai lagi perasuah dalam jabatan lain, termasuk daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu diburu sehingga berjaya ditumpaskan.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, berkata titah Sultan Ibrahim perlu dijadikan panduan utama anggota kerajaan dan Ahli Parlimen dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara sebagai asas dalam apa juga tindakan.
Beliau berkata, seruan baginda supaya negara kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iaitu perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dijadikan pegangan bersama.
“Hak negeri mengikut lunas perlembagaan dan perundangan harus sentiasa dihormati, tanpa mengabaikan kepentingan negara secara keseluruhan.
“Inilah keseimbangan terbaik demi rakyat dan negara, iaitu menghormati hak negeri sebagai teras Persekutuan, tanpa membiarkan sentimen sempit merosakkan perpaduan nasional,” katanya.
Mengenai ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi “deepfake”, Fadillah berkata, langkah lebih berkesan perlu digerakkan dalam menangani jenayah berat, keganasan serta isu yang menyentuh agama, kaum dan institusi diraja (3R) supaya keharmonian antara kaum terus terpelihara dan kedaulatan negara kekal utuh.-BH Online
