KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menyentuh mengenai pendidikan negara sempena Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15.
KPM berkata, titah baginda menjadi peringatan kepada seluruh warga kementerian itu untuk terus berusaha memperkasakan ekosistem pendidikan negara sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan Malaysia.
“Ini termasuk memastikan sebarang usul mengiktiraf sistem pendidikan lain mesti selari dengan Dasar Pendidikan Negara dan menerima keperluan Bahasa Melayu serta Sejarah Malaysia.
“Ketika ini, KPM sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPM memaklumkan RPM 2026-2035 adalah kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang sudah tamat tahun lalu.
Katanya, matlamat utama pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan negara demi anak-anak Malaysia.
“Seperti yang dititahkan baginda, RPM 2026-2035 memberi penekanan kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid.
“KPM memastikan titah baginda dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Pada titah Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15, Yang di-Pertuan Agong menegaskan sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri serta masa depan Malaysia.
Baginda bertitah, jika mahu mewujudkan sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dilaksanakan selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.
Justeru, sebarang usul untuk mengiktiraf apa-apa sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.-BH Online
