Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 15 Januari – Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) kini dalam proses lantikan baharu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, MPPK selaras dengan keperluan mendapatkan pandangan menyeluruh pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, persiapan dari segi dasar dan hala tuju telah tersedia, dan kementerian kini hanya menunggu proses pelantikan rasmi sebelum majlis berkenaan dapat berfungsi sepenuhnya.

“Kita sebenarnya, MPPK ini dalam proses untuk pelantikan. Dari segi persiapan kita untuk sebagaimana arahan saya untuk mereka itu, kita sudah bersedia.

“Cuma menunggu mereka masuk, dilantik dan kemudian kita akan selesaikan dalam tahun ini juga, sesegera mungkin kerana kita nampak ada maklum balas yang berbagai berkaitan pandangan-pandangan itu.

“Jadi kita akan kumpulkan kajian-kajian yang telah pun ada di Peringkat Penyelidikan Malaysia untuk kita kaji bersama dan lihat bersama dengan Majlis Penasihat, Insya-Allah sesegera mungkin.”

Beliau ditemui di Putrajaya selepas menyempurnakan Program PAKAT Prasekolah KPM dan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1), Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, penubuhan MPPK penting bagi meneliti pelbagai maklum balas yang diterima daripada ibu bapa, guru serta komuniti pendidikan, selain mengkaji dapatan penyelidikan sedia ada sebelum sebarang keputusan penting dibuat.

MPPK akan dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk pakar dasar, pendidik berpengalaman, pengamal di peringkat akar umbi serta tokoh yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan negara.

Beliau turut menegaskan, pendekatan kerajaan adalah untuk tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa, sebaliknya memastikan setiap dasar pendidikan diteliti secara menyeluruh melalui nasihat pakar dan kajian berterusan demi kepentingan pelajar dan sistem pendidikan secara keseluruhan.-BH Online