KUALA LUMPUR, 13 Januari -Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merancang memperkenalkan harga rujukan rasmi minyak masak terpakai (UCO) bermula suku pertama 2026.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu bagi membendung ketidaktelusan dan penyelewengan harga dalam pasaran.
Menurut beliau, langkah tersebut akan menyediakan penanda aras harga yang jelas, sekali gus mewujudkan ekosistem perdagangan lebih adil serta melindungi pemain kecil daripada amalan manipulasi.
“UCO kini semakin penting dalam rantaian ekonomi kitaran, khususnya sebagai bahan mentah bernilai untuk penghasilan biobahan api dan produk kimia berasaskan sawit.
Usaha ini bukan sahaja menyusun pasaran UCO dengan lebih teratur, malah mengukuhkan pemantauan, penjejakan dan tadbir urus supaya pengurusan sisa ini kekal selamat serta mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2026, di ibu negara.
Mengulas prestasi industri, Datuk Seri Dr Noraini memaklumkan, harga purata minyak sawit mentah mencatat peningkatan kepada RM4,292 setan pada 2025 berbanding RM4,179 setan pada tahun sebelumnya.
Beliau memaklumkan, nilai eksport minyak sawit dan produk berkaitan dijangka melepasi RM100 bilion, manakala pengeluaran menghampiri 20 juta tan, mencerminkan prestasi industri yang kekal memberangsangkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan daya saing jangka panjang industri sawit negara bergantung kepada peningkatan produktiviti, pengukuhan agenda kelestarian serta penerapan inovasi secara menyeluruh.
“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, katanya, kualiti, kelestarian dan kebolehkesanan perlu menjadi keutamaan, bukan sekadar mengejar jumlah pengeluaran.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkasakan sistem jaminan bagi memastikan minyak sawit Malaysia kekal diyakini pasaran antarabangsa,” ujarnya lagi.
Seminar R&O 2026 anjuran MPOB yang membawa tema “Securing the Future of Palm Oil in a Changing Global Economy” menghimpunkan lebih 400 peserta.
Mereka terdiri daripada pemain industri dan ahli akademik bagi menilai prestasi pasaran serta hala tuju strategik industri sawit negara.
Program itu turut menyaksikan pelancaran buku “Small Bites, Big Impact – The Red Palm Oil Biscuit Story”.
Ia hasil penyelidikan MPOB bersama Universiti Malaya berkaitan manfaat pemakanan berasaskan minyak sawit merah.-BH Online
