Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penganjur program ‘Glamping With Pride’ yang didakwa mempromosikan gaya hidup dan budaya songsang, dinasihatkan supaya membatalkan atau menghentikan aktiviti yang bertentangan dengan fitrah manusia itu.

Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, penganjuran program yang cuba menyuntik elemen itu biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, jelas dilarang.

Katanya, ia adalah satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka terutama di negara ini yang meletakkan agama Islam sebagai istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dari perspektif Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.

“Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.

null

“Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya’ (perkara keji) dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam kenyataan Tinta Mufti di laman sosial hari ini.

Terdahulu, media melaporkan penganjur program ‘Glamping With Pride’ akan meneruskan program itu di Hulu Langat hujung minggu depan, walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Ia mendapat reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yang menggesa pengusaha chalet dan resort untuk tidak membuka pintu kepada penganjuran program yang dikaitkan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) itu.

Malah, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut memaklumkan akan turun padang bagi memastikan program itu dibatalkan.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fauwaz berkata, individu terbabit program maksiat sedemikian perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang berat setimpal dengan kejelekan maksiat dilakukan itu.

Namun katanya, jika ada dalam kalangan mereka ingin bertaubat dan menyesal dalam perbuatan itu, pintu taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin kembali kepada fitrah.-BH Online