Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 9 Januari – Kerajaan kini berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia, yang dijadualkan bakal dibentangkan di Parlimen pada awal tahun ini.

Langkah itu merupakan salah satu agenda utama reformasi institusi bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan sektor awam.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ikmal Hisham Md Tah berkata, pengenalan RUU itu merupakan satu ‘anjakan paradigma’ dalam menyelesaikan isu berkaitan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.

“RUU ini menjadi titik tolak kepada reformasi yang efektif dan berkesan dalam memastikan negara menuju ke tahap yang lebih dihormati. Ia memberi ruang untuk memperbaiki sistem di dalam kerajaan itu sendiri melalui peranan pihak ketiga sebagai ejen pemantau,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Keberadaan badan bebas seperti Ombudsman akan memastikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat berjalan dengan lebih baik, sekali gus memberi manfaat jangka panjang terhadap sistem penyampaian perkhidmatan negara.

Setakat Januari 2026, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang memuktamadkan draf dasar selepas mendapat kelulusan jemaah menteri.

Penubuhan Ombudsman Malaysia dijangka akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani aduan secara adil, telus, dan bebas daripada pengaruh pihak eksekutif.-Berita RTM