KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terus memperkukuh agenda inklusiviti dengan memperkasakan penggunaan peranti e-Braille di masjid bagi memudahkan komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengakses pembelajaran al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sebuah syarikat tempatan yang membangunkan peranti e-Braille buatan Malaysia.
“Alhamdulillah, hari ini kita menghadiri bengkel penggunaan peranti e-Braille serta penyerahan 10 unit peranti kepada guru al-Quran.
“Ini satu inovasi yang sangat bermakna kerana ia dihasilkan oleh anak tempatan dan ditawarkan pada kos yang lebih berpatutan serta berteknologi tinggi,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Peranti E-Braille Kepada Guru Al-Quran OKU Penglihatan di sini, hari ini.
Seramai 20 guru al-Quran OKU penglihatan menerima peranti e-Braille yang bernilai RM90,000 itu. Terdahulu, mereka turut berpeluang menyertai Bengkel E-Braille yang diadakan bagi menambah pengetahuan.
Zulkifli berkata, peranti e-Braille jauh lebih ringan iaitu kurang satu kilogram, berbanding al-Quran Braille fizikal yang sebelum ini mencecah sehingga 10 kilogram.
“Dengan peranti ini, guru al-Quran OKU penglihatan dapat mengajar dengan lebih mudah dan berkesan. Ia bukan sahaja menggantikan al-Quran Braille, malah mempunyai pelbagai fungsi pintar yang membantu akses kepada ilmu,” jelasnya.
Malah, katanya, peranti itu turut bersifat ‘all-in-one’ dan berkemampuan menggantikan mesin brailler, komputer riba serta bahan pembelajaran lain, termasuk fungsi kalkulator dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Zulkifli berkata, usaha memperkasakan e-Braille itu juga adalahsebahagian daripada pelaksanaan Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024-2028 yang bertujuan melahirkan lebih ramai guru al-Quran berkemahiran braille.
Katanya, sebagai langkah memperluas manfaat kepada komuniti, satu peranti akan ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Lumpur dan dua di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan kelas dan kuliah berkaitan penggunaan peranti tersebut diteruskan.
“Ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan prinsip inklusiviti agar tiada golongan masyarakat yang terpinggir daripada akses kepada ilmu agama,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengeni isu tular berkaitan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkalungkan bunga di pusara Mustafa Kemal Ataturk ketika mengadakan lawatan ke Turkiye, Zulkifli menasihati orang ramai supaya tidak terlalu terperangkap dengan perkara remeh.
“Saya ingin menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya kita fokus kepada perkara yang lebih besar seperti pembangunan negara, pelaburan dan hubungan dua hala antara negara,” katanya.-BH Online
