Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kehadiran EXCO daripada DAP dalam barisan kepemimpinan tertinggi kerajaan negeri itu lebih memudahkan urusan pentadbiran berbanding ketika bersama rakan parti komponen MCA sebelum ini.

Beliau berkata, hakikatnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) BN di Pahang tidak mampu mendirikan kerajaan tanpa kehadiran pihak lain selepas gagal memperoleh mandat dua pertiga.

Katanya, sikap masyarakat Melayu yang berbalah kerana perbezaan politik juga menyebabkan mereka berpecah-belah dan ketinggalan sedangkan yang mendapat keuntungan adalah bangsa lain.

“Ini cakap UMDAP la. Kita nak beri tahu, semasa tidak ada DAP pun dalam kerajaan Pahang, kita bayar (bantuan penjawat awam) sebulan setengah gaji saja. 

“DAP ada dalam barisan EXCO, bila saya kata nak beri dua bulan gaji, satu ayat pun tak dengar mereka membangkang.

“Selama tiga tahun ini, saya nak beri tahu ada masa kadang lebih mudah (untuk berurusan) dengan mereka berbanding dengan MCA. Kadang kala mereka berikan nasihat yang baik berkenaan ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Wan Rosdy berkata, semua pihak tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah sesama sendiri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pentadbiran dan pendidikan SMAN perlu melalui anjakan paradigma serta keluar dari zon selesa untuk meningkatkan prestasi lepasan pendidikan agama di negeri itu.

“Usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan prestasi sekolah di Pahang dan dengan adanya program ini ia bermakna kita tidak sentiasa berada dalam zon selesa.

“Saya sudah mendengar lapan resolusi yang dihasilkan dan saya berharap dan yakin ia akan dapat dicapai.

“Ia jelas dengan komitmen kerajaan negeri bukan sahaja kita hanya bercakap tapi kita seiringkan dengan usaha kita dengan pemberian peruntukan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, antara resolusi yang mahu dicapai adalah untuk 30 peratus daripada 18 SMAN mencapai kedudukan tempat 30 terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2027 dengan sasaran 100 peratus menjelang 2031.

Beliau berkata bagi 2026, Kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah RM116.58 juta bagi pengoperasian SMAN dan RM17.4 juta disediakan untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama bagi memastikan persekitaran dan pembelajaran yang kondusif.-BH Online