Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 8 Januari – Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan, khususnya melibatkan ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara, disasarkan berkuat kuasa sekitar Jun atau Julai tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran itu ditetapkan selepas semua persiapan utama susulan kelulusan Parlimen diselesaikan, termasuk pindaan terhadap Peraturan Kewarganegaraan 1964 dalam versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Kedua-dua bahasa telah disemak oleh AGC. Selepas itu, kita perlu mempersiapkan dokumen dan borang-borang berkaitan serta memaklumkan kepada malawakil Malaysia di seluruh dunia. Seterusnya, proses perkenan dan pewartaan Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan.

“Jika semua langkah ini berjalan lancar, kita menyasarkan Jun atau Julai 2026 bagi membolehkan kelahiran anak di luar negara dalam kes ini mendapat status warganegara secara kuat kuasa undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di sini.

Datuk Seri Saifuddin menyifatkan pindaan berkenaan sebagai antara pencapaian utama Kerajaan MADANI yang mencerminkan nilai ihsan dan keadilan, khususnya dalam menangani isu lama yang dihadapi oleh golongan ibu warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menegaskan proses membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan sedia ada tetap diteruskan tanpa sebarang penangguhan.

Sepanjang tahun 2025, KDN telah membuat keputusan terhadap lebih 20,000 permohonan kewarganegaraan, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan dan mengurangkan jumlah permohonan tertunggak kepada kurang daripada 4,000 kes.

KDN juga optimis semua permohonan lama yang tertangguh sejak lima hingga 15 tahun dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pengurusan hal ehwal kewarganegaraan negara.-Berita RTM