TOKYO: Harga minyak merosot hari ini selepas operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) menahan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, yang negaranya memiliki rizab minyak mentah terbukti terbesar di dunia.
Kemasukan jumlah minyak Venezuela yang lebih besar ke pasaran dijangka menambah kebimbangan lebihan bekalan dan seterusnya memberi tekanan ke atas harga minyak, yang telah menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Dalam dagangan pagi di Asia, minyak mentah Brent susut 0.21 peratus kepada AS$60.62 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 0.35 peratus kepada AS$57.12 setong, kedua-duanya lebih tinggi sedikit berbanding paras terendah awal.
Tentera AS menyerang Caracas pada awal pagi Sabtu, mengebom sasaran ketenteraan dan membawa keluar Maduro serta isterinya untuk menghadapi pertuduhan narkotik persekutuan di New York.
Presiden AS, Donald Trump berkata AS kini akan “mentadbir” Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat AS untuk membaik pulih infrastruktur minyak negara itu yang teruk rosak.
Selepas bertahun-tahun kekurangan pelaburan dan sekatan, Venezuela kini menghasilkan sekitar satu juta tong sehari, merosot daripada kira-kira 3.5 juta tong sehari pada 1999.
Bagaimanapun, penganalisis berkata selain pelbagai persoalan besar mengenai masa depan Venezuela, peningkatan pengeluaran minyak secara ketara bukanlah sesuatu yang mudah atau cepat.
“Sebarang pemulihan pengeluaran memerlukan pelaburan yang besar memandangkan infrastruktur yang runtuh akibat bertahun-tahun salah urus dan kekurangan pelaburan,” kata penganalisis UBS, Giovanni Staunovo, kepada AFP.
Pelaburan pada masa ini juga kurang menarik, harga minyak ditekan oleh lebihan bekalan dan jatuh pada 2025 walaupun terdapat halangan pertumbuhan yang ketara seperti perang tarif Trump dan konflik berterusan di Ukraine. – AFP
