KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan kerjasama bersama klinik swasta bagi memastikan standard penyampaian perkhidmatan sentiasa dipertingkatkan terutama premis yang berada di pusat komersial tumpuan ramai termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan terbaik dalam rawatan pesakit termasuk membabitkan kes kecemasan, sekali gus prosedur operasi standard (SOP) kecemasan sentiasa dipatuhi sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata program peningkatan kesedaran dan pengetahuan berkaitan pertolongan cemas juga akan dipertingkatkan terutama dalam kalangan kakitangan perubatan di pusat komersial serta orang awam bagi membolehkan bantuan awal diberi ketika kecemasan kerana setiap saat amat berharga dan tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya sedia turun padang secara berkala bagi memastikan standard perkhidmatan dipatuhi dan bersedia memperkasakan program kesedaran pertolongan cemas dalam kalangan kakitangan jabatan di pusat komersial dan masyarakat.
“Latihan simulasi (TTE) bagi menguji kesiapsiagaan, pelan tindakan dan koordinasi dalam situasi berkaitan rawatan kecemasan kesihatan serta pemantauan berkala juga perlu dibuat bagi memastikan kesiapsiagaan klinik dan kakitangan untuk menangani kes kecemasan.
“Bagi fasiliti berorientasikan komersial seperti di lapangan terbang antarabangsa termasuk di KLIA, penyediaan perkhidmatan klinikal dilakukan dengan kerjasama sektor swasta dan kerajaan bertindak sebagai pengawal selia serta penetap piawaian.
“Pendekatan ini selari dengan amalan di lapangan terbang utama dunia yang lain termasuk di Changi, Dubai, Abu Dhabi dan Muscat.
“Di KLIA, perkhidmatan pesakit luar disediakan klinik swasta yang mempunyai jaringan rujukan ke hospital dan klinik kerajaan berhampiran, malah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga menyediakan lima pasukan kecemasan lapangan terbang.
“Bagaimanapun, tahap respon terhadap sebarang kecemasan termasuk kesediaan Klinik dan kakitangan di lapangan terbang menghadapi sebarang isu kecemasan memerlukan penelitian lanjut dan jika perlu ditambah baik akan dibantu sebaiknya bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan,” katanya kepada BH, semalam.
Semalam, BH secara eksklusif melaporkan, seorang pengunjung KLIA 1 rebah hampir setengah jam sebelum petugas kesihatan tiba, namun mangsa sudah disahkan meninggal dunia.
Kejadian di depan mata pengamal media kelmarin itu menyebabkan keadaan kelam-kabut apabila mangsa warga Myanmar bersama anaknya berada di Blok B yang mahu menuju ke kawasan parkir tiba-tiba rebah, tetapi tiada tindakan pantas diambil bagi membantunya walaupun ketika itu beberapa kakitangan KLIA turut berada di lokasi kejadian.
Dr Dzulkefly berkata, peralatan kesihatan canggih yang dimiliki tidak bermakna jika tidak ada kemahiran menggunakannya terutama ketika kes kecemasan berlaku yang memerlukan tindakan pantas bagi menyelamatkan nyawa.
Susulan itu, beliau berkata, KKM melalui hospital dan pusat kesihatan daerah (PKD) terdekat sentiasa terbuka dan bersedia memberi kemahiran pertolongan cemas termasuk kepada orang awam kerana di saat kritikal, tanggungjawab memberi rawatan segera sangat diperlukan bagi menyelamatkan nyawa.
“Kerajaan kekal komited memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan berkualiti, selamat dan responsif kepada rakyat.
“Bagi pusat komersial seperti KLIA ini, kita akan terus memperkemaskan kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), MAHB dan klinik swasta untuk memastikan keselamatan, kualiti perkhidmatan serta kesiapsiagaan kesihatan awam berada pada tahap optima dan rawatan kecemasan diberikan mengikut SOP ditetapkan,” katanya.-BH Online
