Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 5 Januari– Kementerian Pertahanan (MINDEF) memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera seperti tular di media sosial.

Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara segera dan menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.

MINDEF dalam satu kenyataan menegaskan dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

Menurut kenyataan itu, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tata cara dan undang-undang semasa, sekiranya didapati bersalah.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.

Kementerian Pertahanan dan ATM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan sentiasa berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.-Berita RTM