Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebarang pendirian UMNO berkait hubungan dengan parti lain, mesti dibincang dan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Ahli MKT, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sangat terbuka untuk mendengar semua pandangan setiap kali mesyuarat MKT dan Biro Politik diadakan.

Ketika ini, beliau berkata, mesyuarat MKT belum diadakan kerana ramai pimpinan UMNO sedang bercuti, manakala PAU akan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari depan.

“Dalam UMNO, pendirian penting mesti perlu dihadam, dibincang dan diputuskan dalam MKT serta PAU,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Pada Khamis lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengesyorkan supaya Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini menyaksikan kerjasama politik parti itu dengan PAS, dihidupkan semula.

Ia susulan krisis politik di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membabitkan tiga daripada PAS dan lima lagi BERSATU, dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli daripada PAS.

Sebelum itu, Dr Muhamad Akmal turut menggesa UMNO agar menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin daripada DAP, berkait Datuk Seri Najib Razak yang kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Mengulas lanjut, Ahmad menyifatkan kemelut politik berkenaan meliputi keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepada Najib, sebagai gelora di hujung tahun.

Namun, beliau meminta ahli parti melihat kepada kesan sebarang tindakan yang ingin diambil, terhadap kerajaan negeri seperti Pahang, Perak serta Negeri Sembilan, dan pada masa sama memikirkan syarat kestabilan serta rupa bentuk masa depan kerajaan pusat.

“Selain itu, pembahagian kerusi perlu difikirkan untuk empat siri pilihan raya yang akan berlaku, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Sarawak, PRN Johor serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), yang pasti ada kesan dengan apa keputusan besar akan diambil.

“Di mana untung UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam beberapa senario dinamika politik pilihan yang ada?” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sikap pengundi muda dan pengundi Melayu, Cina, India serta Bumiputera, perlu dikaji secara sistematik dan analitik, berserta kajian di lapangan dan bukan hanya secara agak-agak.

“Penelitian terhadap perincian perkara besar begini wajar diambil kira dengan fikiran tenang dan kebijaksanaan yang tinggi,” katanya.-BH Online