KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merekodkan jumlah trafik kira-kira 2 juta kenderaan di rangkaian lebuh raya kendaliannya termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Ahad.
Laluan-laluan utama yang mencatat trafik tinggi antaranya di Jambatan Pulau Pinang, Sungai Dua dan Juru (Wilayah Utara), Kempas, Taman Perling, Skudai (Wilayah Selatan) dan Sungai Besi, Jalan Duta, KLIA (Wilayah Tengah).
Kepadatan tinggi jumlah kenderaan di atas lebuh raya ini adalah sempena cuti persekolahan akhir tahun dan perayaan Krismas. PLUS terdahulu meramalkan 2.2 juta kenderaan sehari pada waktu puncak 27 Disember 2025 dan 2 Januari 2026.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal menerusi jadual perjalanan digital, MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS sepanjang musim cuti ini.
“Mengambil kira keadaan cuaca tidak menentu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan berhati-hati memandu ketika hujan.
“Pastikan kenderaan telah diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, dapatkan rehat selepas setiap dua jam pemanduan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” ujar Yusuf Ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.
Setakat jam 8:27 malam Isnin, Portal Rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan beberapa lokasi mencatatkan aliran perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS-E1), antaranya meliputi Juru Auto City ke Permatang Pauh, dan Tapah ke Gopeng bagi laluan arah utara.
Manakala bagi laluan arah selatan, trafik sesak melibatkan Bandar Baharu ke Alor Pongsu, Terowong Meru ke Ipoh Utara dan Tapah ke Sungkai.
Selain itu, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS-E2), trafik perlahan sekitar Simpang Renggam ke Sedenak dan Sedenak ke Senai Utara.
Seterusnya kemalangan dilaporkan berlaku di kawasan R&R arah Selatan dari Tapah ke Bidor, difahamkan susur masuk terhalang, namun trafik terkawal.-Astro Awani
