Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ibu bapa diminta tidak menolak tawaran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diterima anak masing-masing hanya disebabkan kekangan kewangan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya bersedia membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk melalui Bantuan Khas BUDI MARA.

“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM agar bantu mereka yang susah. 

“Bantuan Khas BUDI MARA juga ada disediakan,” katanya dalam dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau dihubungi seorang kenalan memaklumkan perihal keluarga susah di Pasir Mas, Kelantan yang mana bapa tidak lagi bekerja selepas kemalangan, manakala ibu sekadar suri rumah di sebuah kampung pedalaman. 

“Adik-beradik empat orang. Baru dapat makluman tawaran ke MRSM Jeli. Namun dek memikirkan kos-kos perbelanjaan untuk ke MRSM dan sepanjang belajar di sana, mereka berkira-kira untuk menolak tawaran ini. 

“Saya terus telefon sahabat saya, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri Mohamed Noor untuk bantu perbelanjaan awal. Selebihnya insya-Allah saya dan MARA akan bantu,” katanya.

BUDI MARA adalah inisiatif keprihatinan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40.

Program itu memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di MRSM.

Inisiatif itu selari dengan dasar pengambilan pelajar, iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus dalam kalangan keluarga B40 di samping kriteria status sosioekonomi dan kecemerlangan yang diambil kira menerusi sistem merit.

Program berkenaan bermula 2005 dikenali sebagai Program Bantuan Khas (PBK) sebelum dijenamakan semula sebagai BUDI MARA pada 2016. 

BUDI MARA diperkasakan melalui dua pendekatan, iaitu penambahan bilangan pelajar serta pelaksanaan program pembangunan pelajar BUDI selari dengan keperluan pelajar.

Pelajar BUDI MARA akan menerima bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan, tambang perjalanan pulang cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan, keperluan peribadi dan sebagainya.-BH Online