KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, namun kekal mengekalkan momentum apabila cuba menembusi paras 4.03 pada sesi pagi.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0470/0535 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0515 pada penutupan Rabu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berbanding dolar AS meningkat sehingga paras setinggi 4.0318 pada sesi pagi sebelum melemah kepada 4.0470 menjelang penutupan.
“Ringgit dilihat terus kekal kukuh apabila cuba menembusi paras RM4.03,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.7629/7706 daripada 4.7697/7804 pada penutupan Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4570/4657 daripada 5.4647/4768, dan naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5866/5909 daripada 2.5940/5999.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang rakan serantau ASEAN.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0212/0484 daripada 13.0277/0639 sebelum ini, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1497/1550 daripada 3.1506/1578, namun melemah berbanding rupiah Indonesia kepada 241.6/242.2 daripada 241.0/241.8, serta susut berbanding peso Filipina kepada 6.89/6.90 daripada 6.88/6.90. -BH Online
