Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Berbaki lima hari sebelum tahun 2025 berakhir, kaunter zakat mula dipenuhi umat Islam yang mengambil kesempatan menyempurnakan Rukun Islam itu, sekali gus melayakkan bayaran mendapat rebat cukai bagi taksiran 2025.

Tinjauan BH di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) cawangan Wangsa Maju mendapati jumlah pengunjung meningkat mendadak sejak awal minggu ini dengan suasana kaunter lebih meriah berbanding hari biasa.

Bagi menampung peningkatan itu, PPZ-MAIWP cawangan Wangsa Maju membuka kaunter setiap hari sepanjang Disember, khususnya dari 22 hingga 31 Disember, termasuk pada hujung minggu. 

Difahamkan, sebelum ini hanya dua atau tiga kaunter dibuka di cawangan itu, namun menjelang hujung tahun, sebanyak sembilan kaunter disediakan dengan waktu operasi turut dilanjutkan dari jam 8 pagi hingga jam 9 malam bagi melancarkan urusan pembayaran.

Melalui tinjauan BH sehingga jam 12 tengah hari tadi, hampir 100 pembayar zakat direkodkan membuat bayaran.

null

PPZ-MAIWP menjangka jumlah pengunjung akan terus meningkat dalam tempoh lima hari terakhir tahun ini, selari dengan trend tahunan apabila ramai memilih membayar zakat pada saat akhir bagi melengkapkan kewajipan serta perancangan cukai.

Suri rumah, Rozita Abu Bakar, 55, berkata pembayaran zakat pada hujung tahun sudah menjadi rutinnya sejak dulu.

“Saya memilih membayar zakat setiap kali hujung tahun kerana suasananya lebih meriah dengan ramai orang melakukan perkara sama.

“Dari zaman saya bekerja dulu sampai sekarang, walaupun tak bekerja, saya tetap tunaikan zakat,” katanya kepada BH.

Rozita berkata, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penambahan kaunter, petugas bantuan dan promosi saluran digital bagi memudahkan pembayar zakat menjelang hujung tahun.

Pesara kerajaan, Mohd Ariff @ Mohd Fauzi Ahmad Razali, 70, pula berkata beliau sengaja memilih hujung tahun kerana ingin merasai suasana pembayaran secara fizikal.

“Setiap tahun saya bayar zakat pada hujung tahun dan suasananya meriah kerana semakin ramai sedar untuk menunaikan kewajipan Rukun Islam itu. 

“Saya lebih suka berurusan di kaunter berbanding buat bayaran secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, pengusaha perniagaan, Zulhelmi Sajali, 39, berkata walaupun kemudahan dalam talian tersedia, beliau tetap memilih hadir ke kaunter.

“Di kaunter, pembayaran zakat dibuat dengan melafaz dan membaca doa, semua ini membuatkan perasaan kita lebih terasa. Tambahan pula hari ini Jumaat terakhir sebelum tahun baharu, jadi memang sengaja pilih hari ni,” katanya.-BH Online