KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melancarkan inisiatif ‘Friends of Johor’, sebuah platform strategik bagi memperkukuh hubungan serta memperdalamkan libatan dengan pemimpin perniagaan dan pelabur global, bermula di China.
Malaysia–China Chamber of Commerce (MayCham) Shanghai tampil sebagai anggota sulung inisiatif berkenaan, diikuti lapan pemimpin perniagaan lain.
Pelancaran itu dibuat bersempena lawatan kerja Onn Hafiz bersama delegasi kerajaan negeri Johor ke Shanghai, yang dianjurkan bersama oleh Maybank, Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MayCham Shanghai bagi mempromosikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Onn Hafiz berkata, JS-SEZ merupakan langkah penting dalam transformasi ekonomi Johor yang memperkukuh integrasi rentas sempadan dengan Singapura, selain meletakkan negeri itu sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
“Pada masa sama, inisiatif seperti ‘Friends of Johor’ mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membina perkongsian jangka panjang dengan pelabur yang melihat Johor bukan sekadar lokasi pelaburan, tetapi sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.
Delegasi kerajaan Johor turut disertai Penasihat Ekonomi Negeri Johor merangkap Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), Datuk Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Noorazam Osman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ahmad Nazir Mohd Nasir; serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris.
Sepanjang lawatan itu, delegasi berkenaan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat teknologi tinggi termasuk Shanghai Agibot Technology Co Ltd, pengeluar robot humanoid untuk kegunaan industri, serta Gotion High-Tech Co Ltd, pengeluar bateri generasi baharu.
Selain itu, program berkenaan turut merangkumi pertemuan dengan 30 pelanggan Maybank terdiri daripada syarikat milik kerajaan dan swasta yang beroperasi dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, infrastruktur data, peralihan tenaga, teknologi kewangan (fintech), logistik dan robotik. Perbincangan memberi tumpuan kepada dasar, insentif serta peluang pelaburan dalam 11 sektor keutamaan termasuk pembuatan, ekonomi digital dan ekonomi hijau dalam JS-SEZ.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong, berkata hubungan ekonomi Malaysia, China dan ASEAN yang kukuh menjadikan JS-SEZ sebagai pintu masuk strategik bagi syarikat China yang ingin mempelbagaikan dan mengembangkan operasi mereka di rantau ini, dengan Maybank berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong keperluan berkenaan.
“Melalui kehadiran Maybank di 10 daripada 11 negara ASEAN, termasuk Johor dan Singapura, kami berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong pelanggan dalam menghubungkan peluang serantau,” katanya.-BH Online
