Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kesemua 31 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan yang diselamatkan di Myanmar selamat pulang ke tanah air apabila memasuki sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam pada jam 7 malam (waktu Thailand) hari ini. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu kenyataan, berkata perkara itu disahkan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Kumpulan terbabit, yang diselamatkan daripada sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Myawaddy, Myanmar, dibawa masuk ke Thailand dari Myanmar pada 8 Disember lalu dan kini berada di Malaysia.

Sebelum dihantar pulang, mereka tinggal lebih dari seminggu di Thailand bagi melepasi proses undang-undang dan imigresen Thailand serta dokumentasi sebelum mendapat kebenaran pulang ke Malaysia.

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon berjaya memudah cara usaha penghantaran pulang 31 warganegara Malaysia itu.

Katanya, kumpulan terbabit tiba dengan selamat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, Kedah, petang tadi dan seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan lanjut.

Wisma Putra berkata bantuan konsular yang komprehensif diberikan termasuk makluman kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas, serta pengiringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas kerjasama teguh dalam memudah cara dan mempercepatkan usaha membawa pulang 31 warganegara Malaysia terbabit.

“Kementerian Luar kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara terpelihara dan menerusi perwakilan diplomatiknya, akan terus menghulurkan bantuan konsular padabila-bila masa diperlukan,” katanya.-BH Online