Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA, 20 Disember- Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran sewaan kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bagi bangunan yang digunakan sebagai pusat kegiatan sastera di Jalan Belfield, Bukit Petaling.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan dunia kesusasteraan, seni budaya dan bahasa kebangsaan terus terpelihara.

Menurut beliau, permohonan pengecualian sewaan tersebut telah dikemukakan oleh Presiden Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan, selain pernah disuarakan sebelum ini oleh tokoh sasterawan negara, Tan Sri Latiff Bakar.

“Saya mempertimbangkan dua pilihan sama ada mengurangkan kadar sewa atau memberikan pengecualian sepenuhnya, dan saya memilih untuk mengecualikannya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah sempena ulang tahun ke-55 Gapena di sini.

Majlis itu turut dihadiri Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan serta barisan kepimpinan Gapena.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Zahid turut menggesa Gapena agar lebih agresif mendekati golongan muda, khususnya pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan nilai sastera dan budaya tidak terpinggir dalam arus pemodenan.

Beliau menjelaskan, meskipun unjuran menunjukkan kira-kira 70 peratus pelajar bakal mengikuti aliran teknikal menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13, sastera dan nilai budaya tidak wajar dipandang remeh.

“TVET ialah gelombang utama ekosistem pendidikan negara, namun sastera perlu menembusi minda anak-anak ini agar jati diri dan nilai budaya terus mengiringi mereka walaupun berada dalam bidang teknikal,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, enam tokoh, iaitu SN Dato’ Dr.Baharuddin Zainal, Tan Sri Datuk Wira Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Dato’ Haji Abdul Samad Maharuddin, Tuan Haji Ismail Zam Zam dan Tuan Haji Abdul Aziz Mohd Ali dianugerahkan Anugerah Tokoh Gapena bagi mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka dalam memperjuangkan Gapena sejak penubuhannya.-Berita RTM