KUANTAN, 20 Disember – Rakyat dinasihatkan agar tidak mempolitikkan isu pengurusan, terutama bekalan makanan yang dilaporkan tidak mencukupi di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebelum ini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, keadaan itu berlaku susulan peningkatan mendadak penduduk yang dipindahkan ekoran banjir, selain faktor kenaikan paras air yang tidak dijangka.
Situasi itu hanya berlaku pada hari pertama pemindahan penduduk, namun berjaya dikawal dengan baik.
“Sehingga hari ini, tiada komen yang serius. Sudah tentu setiap PPS ini bukan serba lengkap, namun kita harus bersama-sama menjaga, khususnya hal-hal keselamatan dan kebersihan kerana ini amat penting bagi mengelak pelbagai penyakit yang menular bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara lain juga.
“Kita doa tidak berlaku di sinilah,” titah baginda yang akan mendapatkan laporan terperinci berhubung dakwaan tersebut.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan melawat penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada rakyat Aceh dan Sumatera Utara di Indonesia ekoran banjir besar yang melanda baru-baru ini.-Berita RTM
