KUALA LUMPUR: Keperluan mendesak rakyat terhadap bantuan dan perlindungan sosial menjadi sebab utama mengapa tiada tempoh bulan madu diberikan kepada anggota Kabinet yang baharu dilantik, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota Jemaah Menteri terus bekerja sebaik mengangkat sumpah adalah selari dengan realiti semasa yang menyaksikan ramai rakyat memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

“Sebagai contoh, antara kelompok rakyat yang perlu diberi perhatian segera ialah kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik merentasi sempadan ke Singapura untuk bekerja, namun masih belum mempunyai perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh.
“Mereka ini perlu ada satu mekanisme perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau apa-apa kejadian tidak diingini. Isu ini tidak boleh ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Menara PERKESO, hari ini.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri memberi peringatan tegas kepada menteri yang baharu dilantik atau bertukar portfolio supaya meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, meskipun Anwar tidak menetapkan sebarang tempoh khusus, namun jelas tiada tempoh bulan madu diberikan kepada anggota Jemaah Menteri yang baharu.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata dalam beberapa hari ini beliau akan sedaya upaya mendalami keseluruhan operasi Kementerian Sumber Manusia dengan bantuan Ketua Setiausaha, Datuk Azman Mohd Yusof serta kepimpinan agensi di bawah kementerian, termasuk PERKESO.
“Contohnya hari ini, saya diberikan taklimat untuk memahami secara lebih mendalam berkaitan dengan PERKESO,” katanya.-BH Online