Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 19 Disember – Siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar sebuah pusat tahfiz dirotan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan, keselamatan pelajar kekal menjadi keutamaan.

“Insya-Allah akan dijamin keselamatan, cuma dalam konteks ini saya merasakan selain daripada tindakan undang-undang, kita perlu juga untuk menyelesaikan masalah menggunakan undang-undang.

“Sebenarnya kita ada dimensi lain yang perlu diberikan penekanan…dimensi pendidikan, dimensi tarbiyah, dimensi membina kerohanian, kita cuba lakukan supaya kesemua dimensi itu dapat mewujudkan masyarakat yang berkasih sayang, masyarakat MADANI yang baik,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Bacaan Doa Selamat bersempena lantikan baharu dalam kabinet di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini.

Dr Zulkifli turut memberi amaran, tiada kompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan pelajar, namun setiap siasatan perlu dijalankan secara telus dan berasaskan fakta.

Kerajaan komited untuk memastikan sistem undang-undang dapat melindungi kebajikan pelajar dan pada masa yang sama memperkukuh aspek pendidikan, tarbiah dan pembinaan kerohanian bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.-Berita RTM