Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

 FELCRA Berhad mengumumkan kadar dividen berasaskan operasi sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2025 kepada Koperasi Peserta FELCRA (KPR).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan tersebut bakal memberi manfaat kepada 154 KPR yang bernaung bawah Kumpulan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB), dengan pembayaran dividen akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan.

“Kadar-kadar yang saya umumkan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan kedudukan kewangan KPFB, malah ia telah membuktikan keupayaan KPFB untuk terus memberikan pulangan yang adil dan berterusan kepada anggotanya.

“Saya amat yakin KPFB, Insya-Allah akan terus menjadi contoh terbaik koperasi peserta di Malaysia, malah berpontensi menjadi antara koperasi terunggul di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama dalam Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad di sini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan, sejak lebih dua dekad penubuhannya, KPFB telah menyalurkan dividen melebihi RM20 juta kepada KPR serta naungannya, sekali gus membuktikan koperasi mampu berfungsi sebagai jentera ekonomi rakyat apabila ditadbir secara profesional, berdisiplin dan berintegriti.-Berita RTM