Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang baharu dilantik mahu perkukuh agenda kelestarian alam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sambil menyifatkan pelantikan itu adalah amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul, beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memegang peranan strategik dalam mengimbangi keperluan pembangunan negara dengan pemeliharaan alam sekitar.

“Dalam era perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan cabaran keselamatan sumber, pendekatan pengurusan sumber asli perlu diperkukuh dengan dasar berasaskan sains, tadbir urus telus serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, komuniti tempatan dan pihak industri.

“Keutamaan saya adalah untuk memperkukuh agenda kelestarian alam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Ini termasuk usaha pemuliharaan hutan dan biodiversiti, pengurusan sumber air yang berkesan, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar serta pengukuhan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim. 

“Dalam masa yang sama, pembangunan ekonomi hijau dan peluang pekerjaan berasaskan kelestarian akan terus

dipacu demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Disamping merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan terbabit, beliau juga komited untuk bekerjasama dengan semua pihak.

“Saya komited bekerjasama rapat dengan seluruh warga kementerian, agensi pelaksana, pertubuhan bukan kerajaan, akademia dan sektor swasta.

“Ini bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak nyata kepada rakyat dan alam sekitar,” katanya.-BH Online