PUTRAJAYA: Rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan 27 lantikan baharu dan pertukaran portfolio bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.
Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi sebagai satu pasukan yang mantap serta menumpukan perhatian kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, rombakan membabitkan lantikan baharu dan pertukaran portfolio itu dibuat susulan kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri serta keperluan semasa untuk memperkasakan keupayaan Kabinet dalam mendepani cabaran serta kesejahteraan rakyat.
“Seperti mana sudah sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan.
“Ia juga penting bagi menumpukan perhatian menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat,” katanya pada pengumuman khas rombakan Kabinet hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagi jawatan menteri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi bertukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Hannah Yeoh bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Menteri Ekonomi) dan Steven Sim (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).
Perdana Menteri turut mengumumkan lantikan baharu lima menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; Datuk Seri R Ramanan (Menteri Sumber Manusia) dan Datuk Arthur Joseph Kurup (MenteriSumber Asli dan Kelestarian Alam).
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Bagi jawatan timbalan menteri, Liew Chin Tong bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), Datuk Chan Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Datuk Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Luar Negeri), Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,
Selain itu, Datuk Hanifah Hajar Taib bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi) serta Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Pelantikan baharu bagi jawatan timbalan menteri, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Qiu Chun Man (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Yuneswaran Ramaraj (Timbalan Menteri Perpaduan Negara), Sim Tze Tzin (Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Ekonomi), Mordi Bimol (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Syed Ibrahim Syed Noh (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) serta Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Perdana Menteri berkata, hanya menteri dan timbalan menteri yang terbabit dalam pertukaran portfolio atau lantikan baharu diumumkan, manakala yang kekal tidak diumumkan.-BH Online
