Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan tetap meneruskan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape dengan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenainya dijangka dibentang pada awal tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MJM itu kini sedang dimuktamadkan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, selepas pembentangan tidak sempat dilakukan pada mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan langkah berkenaan walaupun berdepan dengan pelbagai pandangan, berikutan peningkatan kes kemudaratan kesihatan membabitkan penggunaan vape, termasuk cecair vape yang dicemari bahan terlarang seperti ganja sintetik.

Dzulkefly berkata, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari dan pakar perunding kesihatan awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman juga sedang giat melaksanakan kajian meliputi kesan dan implikasi perundangan terhadap masyarakat.

Sebelum ini, Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara dilaporkan berkata, pelaksanaan pengharaman vape akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.-BH Online