Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui peningkatan pengeluaran Beras Putih Tempatan (BPT) masih berdepan cabaran apabila sambutan pembelian dalam kalangan pengguna kekal rendah, iaitu sekitar 10 hingga 15 peratus saja.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata walaupun isu BPT sering dibangkitkan secara lantang di Parlimen, realitinya permintaan di pasaran tidak seperti digambarkan.

Beliau berkata, antara faktor yang mempengaruhi corak pembelian pengguna adalah penurunan harga beras import yang mengakibatkan rakyat memilih beras pada harga lebih sederhana.

“Kita cuba buat pengeluaran BPT, tetapi nampaknya pembelian agak rendah, hanya 10 hingga 15 peratus saja.

“Mula-mula kita jual sekampit, kita minta orang beli dua kampit dan sehinggalah kita longgar (pembelian) kepada lima kampit. Itu pun 10 hingga 15 peratus saja.

“Ini kerana harga beras import turun yang menyebabkan rakyat memilih harga beras agak sederhana,” katanya selepas menjadi tetamu Podcast Utama Buletin TV3 di Balai Berita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kekurangan stok BPT yang masih berlaku dalam pasaran negara ketika ini. 

Terdahulu, ketibaan Mohamad disambut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin; Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Azhari Muhidin dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan.

KPKM sebelum ini memaklumkan pihaknya akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan Program Khas BPT Bersubsidi akan tamat September lalu bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.

Katanya, penilaian turut mengambil kira penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 satu tan di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berkuat kuasa 15 Mei lalu dan langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.

KPKM juga memberi jaminan bekalan beras akan terus dipantau bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi pada harga berpatutan.

Program BPT Bersubsidi yang dilaksanakan pada 1 Mac lalu adalah usaha kerajaan menyasarkan subsidi dengan lebih berkesan, selain menjadi sebahagian daripada fasa transisi pembekalan beras putih di Malaysia.-BH Online