Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya industri francais mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan antara lapan hingga 10 peratus, selain giat mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.

“Lebih banyak jenama Malaysia perlu meneroka pasaran global, dengan mewujudkan kehadiran di sekurang-kurang 25 negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia merancang untuk memacu pengembangan itu melalui cadangan penubuhan ASEAN Franchise Gateway.

Katanya, ia adalah satu inisiatif strategik yang bertujuan meletakkan negara sebagai landasan untuk pertumbuhan francais di seluruh Asia Tenggara.

Beliau berkata, ASEAN dengan gabungan penduduk melebihi 680 juta pengguna dan kelas pertengahan yang berkembang pesat, menawarkan peluang luas kepada jenama Malaysia yang ingin menembusi pasaran serantau serta global.

Melalui gerbang itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia dapat menjadi pusat sehenti bagi pengantarabangsaan francais dengan menawarkan peraturan yang diperkemaskan, sokongan perundangan dan harta intelek.

“Selain itu, (negara dapat menawarkan) penyelarasan pensijilan halal, sebagai pemudah cara logistik bersepadu, pembangunan tenaga kerja berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta laluan kemasukan ke pasaran yang lebih pantas,” katanya.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif itu, beliau berkata, program pengantarabangsaan bawah Program Pembangunan Francais Dipertingkatkan (EFDP) akan diperkukuh melalui misi perdagangan lebih bersasar ke pasaran keutamaan.

Katanya, usaha itu akan membantu francais Malaysia menjalinkan perkongsian strategik, meningkatkan keterlihatan jenama, serta memperkukuhkan kehadiran di luar negara.

“Dengan penyelarasan kawal selia yang kukuh, integrasi ekosistem dan jangkauan antarabangsa yang proaktif, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukan sebagai hab francais utama ASEAN serta pintu masuk jenama global dan serantau ke Asia Tenggara,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan penubuhan Akademi Francais Negara yang diintegrasikan dengan TVET.

Beliau berkata, ia bagi memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk bidang francais, penyeragaman kecemerlangan perkhidmatan, dan meningkatkan keprofesionalan bakat barisan hadapan untuk menyokong penyampaian jenama yang konsisten.

“Dengan melahirkan pekerja yang berorientasikan pelanggan dan berkeupayaan global, inisiatif ini akan memperkukuhkan asas ekosistem francais negara serta mempercepat pengembangan jenama Malaysia di dalam dan luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi penekanan terhadap potensi besar francaias halal.

Beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan pertama dalam Indikator Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

Katanya, ekonomi halal global yang kini bernilai lebih AS$3 trilion, diunjurkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.

Ia sekali gus membuka peluang transformasi untuk jenama francais Malaysia bersedia berkembang ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, industri pelancongan yang menyumbang sebanyak 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK), menjadi satu lagi sektor utama yang berpotensi mendapat manfaat daripada francais.

“Pelancong mencari perkhidmatan yang biasa dan terjamin kualitinya, jenama francais sering menawarkan kebolehpercayaan, konsistensi serta nilai yang mereka harapkan.

“Ketika momentum pelancongan Malaysia terus pulih serta memasuki Tahun Melawat Malaysia 2026, permintaan untuk produk dan perkhidmatan francais merangkumi makanan, runcit, kesejahteraan serta hospitaliti dijangka meningkat dengan lebih kukuh,” katanya.-BH Online