JOHOR BAHRU: Pembangunan pesat Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta prestasi pelaburan yang terus mencatat sejarah melonjak status negeri ini sebagai antara hab inovasi kuantum berpotensi di rantau ASEAN.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kedudukan negeri yang strategik serta hubungan rentas sempadan yang kukuh meletakkan Johor berada pada landasan tepat untuk memacu transformasi kuantum serantau, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Dengan lokasi strategik, infrastruktur maju dan hubungan rentas sempadan yang kukuh, beliau berkata Johor berada pada kedudukan unik untuk merapatkan jurang idea, penyelidikan dan industri di seluruh rantau,” katanya ketika perasmian Sidang kemuncak Kuantum ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membaik pulih Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk penggantian lampu dan karpet.
Mengulas penganjuran Sidang Kemuncak Kuantum ASEAN 2025 yang julung kali diadakan, Onn Hafiz berkata ia permulaan amat signifikan untuk era baharu kerjasama serantau.
“Saya amat berbesar hati dan berbangga menyambut kehadiran semua ke perhimpunan bersejarah ini.
“Sidang ini menjadi bukti kepada tekad bersama ASEAN dalam mencapai kecemerlangan saintifik, ketahanan teknologi dan kemajuan melalui kolaborasi,” katanya.
Mengenai JS-SEZ, Onn Hafiz berkata zon merangkumi kawasan seluas 3,588 kilometer persegi membabitkan enam pihak berkuasa tempatan dan tujuh kawasan flagship itu bukan sekadar inisiatif ekonomi atau berkaitan pelaburan asing semata-mata.
“JS-SEZ adalah tentang rakyat, ia menyediakan pendidikan, pekerjaan dan peluang untuk anda berkembang serta memainkan peranan dalam transformasi kuantum yang sedang berlaku di depan mata kita.
“Menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan kerjasama rapat UTM dan rakan-rakan serantau, kita sedang melahirkan generasi baharu bakat berkemahiran tinggi, bukan sahaja bersedia untuk keperluan hari ini, tetapi juga untuk dunia masa depan yang dipacu teknologi kuantum,” katanya.-BH Online
