KUALA LUMPUR, 5 Disember – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi platform media sosial, Datuk Seri Anwar menyifatkan allahyarham sebagai seorang tokoh politik yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Sabah.
Perdana Menteri turut mengenang hubungan persahabatan mereka yang terjalin sejak sekian lama, sambil menyatakan bahawa jasa Allahyarham dalam arena politik negara akan terus dihargai.
“Jasa serta komitmen beliau terhadap rakyat Sabah dan negara akan terus terpahat dalam ingatan,” katanya.
Datuk Seri Anwar mendoakan agar keluarga allahyarham diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini serta semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan yang beriman.
“Semoga roh allahyarham diampunkan segala dosanya dan ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya. Al-Fatihah,” ujarnya.
Allahyarham Bung Moktar merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan salah seorang figura politik paling berpengaruh di Sabah. Pemergiannya merupakan kehilangan besar buat dunia politik tanah air.-Berita RTM
