KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menghantar satu delegasi ke China untuk memberi penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata delegasi Malaysia bertemu pihak Kementerian Perdagangan China, minggu lalu.
Beliau berkata, ia susulan Beijing menzahirkan kebimbangan mengenai implikasi geopolitik ART itu memandangkan Malaysia dan China adalah rakan dagang strategik.
“Mereka menyatakan mereka perlu merekodkan perkara ini kerana (ia adalah) isu geopolitik.
“Mereka mahu memastikan apa-apa yang dipersetujui tidak membebankan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, perbincangan itu juga membawa kepada usaha China merapatkan lagi kerjasama perdagangan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu, walaupun kedua-dua negara sudah mempunyai kerangka sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.
Mengulas lanjut mengenai langkah Malaysia menandatangani ART lebih awal berbanding beberapa negara ASEAN lain, beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS.
“Pagi tadi pun saya ada perbincangan dengan USTR (Wakil Perdagangan AS). Mereka menyatakan kita akan mendapat layanan, terutama dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik) serta semikonduktor kerana kita merupakan rakan strategik dalam sektor ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak berunding dengan AS mengenai ART dalam suasana yang selesa.
Katanya, rundingan bawah bayangan tarif baharu sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun, iaitu hampir RM30 bilion setahun.
“Saya lebih rela dikritik kerana bergerak cepat untuk menyelamatkan kilang dan pekerjaan rakyat, daripada dipuji kerana berani melawan membiarkan tarif 25 peratus jatuh tanpa sebarang payung,” katanya.
Tengku Zafrul turut menepis dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera.
Beliau berkata, Artikel 7.1 dalam perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.
Katanya, perjanjian itu juga boleh ditamatkan dengan notis bertulis selepas 180 hari, sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 7.5.-BH Online
