KUALA LUMPUR, 1 Disember – Kerajaan menegaskan bahawa kadar gaji minimum tidak seharusnya dijadikan gaji permulaan bagi graduan atau pekerja berkemahiran, sebaliknya merupakan paras asas bagi pekerjaan yang memerlukan kemahiran paling rendah.
Penegasan itu dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif ke-14 antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja Genting Malaysia Berhad di sini.
Menurutnya, kerajaan tahun ini telah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1500 kepada RM1700 sebagai usaha memastikan pekerja di Malaysia menerima gaji lebih munasabah.
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah menaikkan gaji minimum mesti disokong oleh pelbagai instrumen lain, termasuk dasar gaji progresif, program peningkatan kemahiran dan garis panduan gaji yang lebih komprehensif.
Steven memaklumkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif memberi insentif antara RM200 hingga RM300 bagi setiap pekerja kepada syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi membantu mereka membayar gaji lebih tinggi.
Katanya, dasar tersebut dijangka memberi manfaat kepada sehingga 20,000 pekerja menjelang akhir tahun ini.
“Kita bayar insentif kepada syarikat supaya mereka dapat menaikkan gaji pekerja. Ini kaedah sokongan, bukan paksaan,” ujarnya.
Kerajaan turut memperkenalkan garis panduan gaji pertama negara untuk dijadikan rujukan antara majikan dan pekerja.
Garis panduan ini menetapkan julat gaji permulaan bagi pelbagai profesion terutama bagi mereka yang berkemahiran tinggi, sekali gus layak menerima gaji lebih tinggi daripada kadar gaji minimum dan ia bertujuan membantu pekerja baharu memasuki pasaran kerja agar mereka tidak ditawarkan gaji yang tidak setimpal.
Beliau turut menegaskan bahawa Perjanjian Kolektif (CA) kekal sebagai antara instrumen paling berkesan untuk meningkatkan gaji pekerja.
“Saya bangga kerana CA terbukti membantu meningkatkan gaji. Ini kaedah yang kita mahu terus galakkan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan menyeluruh yang merangkumi undang-undang gaji minimum, insentif gaji progresif, latihan peningkatan kemahiran, garis panduan gaji dan perjanjian kolektif adalah strategi terbaik untuk memastikan pekerja menikmati kenaikan pendapatan yang mapan.-Berita RTM
