KUALA LUMPUR: Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) yang menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan serta menyediakan akses lebih lancar di terminal Lapangan Terbang Kuala Lumpur, bermula hari ini.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan berkata, VAMS memberikan caj percuma untuk pengguna kenderaan menghantar atau mengambil penumpang untuk tempoh kurang 10 minit, tetapi caj penalti dikenakan untuk minit berikutnya.
Bagi tempoh 10:01–15:00, caj penalti adalah sebanyak RM10, 15:01–20:00 (RM30), 20:01–25:00 (RM60), 25:01–30:00 (RM100).
Menurut MAHB, VAMS menggunakan pembaca nombor pendaftaran automatik (License Plate Readers – LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan.
“Tempoh ihsan 10 minit disediakan bagi urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat. Skrin digital di lokasi pula akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had 10 minit.
“Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan kenderaan berada di kawasan itu secara automatik dan kenderaan yang melebihi had akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100.
“Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit,” kata kenyataan itu.
MAHB berkata, sistem ini bertujuan memastikan aliran trafik di tepi jalan (kerbside) lebih lancar, mengurangkan kesesakan, membendung aktiviti ulat teksi dan mengukuhkan keselamatan serta keselamatan kawasan berkenaan secara keseluruhan.
“Fasa percubaan menunjukkan perubahan dalam tingkah laku pemanduan dan dalam tempoh tiga bulan lalu, jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit di kawasan kerbside menurun daripada 50 peratus kepada 21 peratus.
“Ia menunjukkan tahap kerjasama pengguna yang tinggi dan pengurangan ketara dalam kesesakan. Data sepanjang tempoh percubaan mengesahkan keperluan untuk beralih kepada penguatkuasaan penuh secara berfasa.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata data percubaan menunjukkan kesesakan di kawasan kerbsidebertambah baik apabila kenderaan mematuhi had masa 10 minit.
“Melalui penguatkuasaan penuh bermula 1 Disember (hari ini) di Terminal 1, kita memastikan akses ke terminal kekal teratur dan semua orang mendapat peluang yang adil bagi menggunakan laluan mengambil dan menghantar penumpang dengan lebih cekap.
“Konsistensi ini amat penting apabila kita memasuki musim puncak perjalanan hujung tahun dan bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.-BH Online
