NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti punca guru baharu yang dikatakan tidak melapor diri ke sekolah penempatan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ada segelintir guru tidak melapor diri pada pendaftaran guru baharu itu pada Isnin lalu.
Beliau menunggu laporan penuh untuk mengetahui sebab guru berkenaan berbuat demikian sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya ingat mereka mendaftar diri pada Isnin, maka masih ada masa untuk kita lihat puncanya secara keseluruhan.
“Sebaik mendapat laporan penuh selepas selesai penempatan, mungkin kita maklumkan kerana sekarang ini belum dapat maklumat penuh.
“Ia penting untuk kita pastikan isu guru tidak melapor diri perlu segera ditangani supaya isu kekurangan guru dapat kita atasi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang disempurnakan Pengerusi SPA, Datuk Seri Ahmad Jailani Muhamed Yunus. di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, di sini, hari ini.
Fadhlina diminta mengulas laporan ada guru baharu tidak melapor diri ke penempatan ditetapkan, malah ada guru dikatakan meletak jawatan.
Beliau menyifatkan isu guru tidak melapor diri sebagai tidak serius kerana jumlahnya kecil, namun tetap memerlukan perhatian.
“Mungkin ada sebab peribadi atau sebab yang perlu kementerian ambil maklum mengapa ia berlaku, malah guru terbabit masih mempunyai ruang untuk melapor diri,” katanya.
Setakat ini, katanya, lebih 98 peratus merangkumi 53,000 penjawatan guru telah diisi sepanjang pentadbiran kerajaan MADANI.
Laporan sebelum ini menyebut, tujuh guru yang diambil menerusi inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak dilapor meletak jawatan.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, dilaporkan berkata seramai 51 orang tidak melapor diri.-BH Online
