KUALA LUMPUR: Seramai 12,645 usahawan India menerima manfaat daripada pelbagai program pembiayaan berjumlah RM249.8 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh 2024 hingga Oktober tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, berkata inisiatif itu merangkumi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN), Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) serta Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs oleh SME Bank.
“KUSKOP terus komited memperkasakan usahawan di seluruh negara, termasuk usahawan kaum India, selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan visi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan sosioekonomi inklusif, seimbang dan mampan,” katanya.
Beliau menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai status pelaksanaan inisiatif untuk usahawan India termasuk SPUMI, PENN, BRIEF-i dan Vanigham.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR berkata, KUSKOP turut menambah baik proses permohonan pembiayaan dengan mempercepatkan tempoh kelulusan.
“Sebagai contoh, permohonan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional hanya memerlukan salinan kad pengenalan, salinan pendaftaran syarikat, tiga keping gambar premis serta salinan tiga bulan penyata bank rasmi.
“Proses kelulusan juga telah dipertingkatkan, kini hanya mengambil masa tujuh hari berbanding sehingga 21 hari di beberapa institusi kewangan lain,” katanya. – BERNAMA
