KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini memberi amaran mengenai bahaya alam siber yang dilihat sudah memperdaya ramai kanak-kanak serantau termasuk Malaysia dalam pelbagai jenayah, khususnya kesalahan seksual.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jaringan keselamatan dalam talian kini sedang berada pada tahap genting disebabkan kemunculan pelbagai teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.
Beliau turut memberi ingatan, dunia digital sememangnya menawarkan peluang tetapi turut membuka risiko yang berkembang lebih pantas daripada kemampuan kita untuk bertindak balas.
“Di seluruh rantau ASEAN, kita sedang melihat tanda-tanda amaran, antaranya Singapura, sebagai contoh, 74 peratus pengguna internet berusia 15 tahun ke atas dilapor berdepan dengan kandungan berbahaya dalam talian pada tahun 2024 manakala di Malaysia, satu tinjauan menunjukkan bahawa sekitar 33 peratus anak muda menjadi mangsa buli siber.
“Ia bukan sekadar angka tetapi adalah isyarat bahawa jaringan keselamatan sedia ada kita sedang berada pada tahap genting kerana AI kini membolehkan pemangsa mencipta suara, pemalsuan wajah, manipulasi identiti kanak-kanak. Ini dilakukan dari belakang skrin, tanpa perlu berada dalam bilik yang sama.
“Di Malaysia, realiti harian amat jelas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mencatatkan sekitar 9,000 aduan buli siber pada tahun 2024, dengan purata 27 kes setiap hari,” katanya berucap pada pelancaran Forum ICT ASEAN 2025 mengenai Perlindungan Online Kanak-Kanak, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, serta Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei, Robert Gass.
Ketika melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) sempena ASEAN ICT Forum, Ahmad Zahid turut menyatakan komitmen Malaysia dalam memperkukuh pendekatan ‘whole-of-government‘ dalam melindungi kanak-kanak di ruang dalam talian.
Katanya, ia akan dilaksanakan melalui kerjasama rentas sempadan, kerjasama rapat dengan industri teknologi sebagai rakan strategik, memperkasa keluarga, guru dan komuniti, serta membina keyakinan dan daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengawal internet, tetapi memastikan kanak-kanak dapat meneroka, belajar dan meluahkan diri mereka dengan selamat dan penuh keyakinan,” katanya.
Dasar Kanak-Kanak Negara
Tambahnya, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) menjadi transformasi sistem perlindungan kanak-kanak negara yang saling melengkapi dan akan menjadi dasar utama dalam memacu hala tuju negara untuk membentuk persekitaran yang selamat, inklusif, sejahtera dan menyokong perkembangan holistik kanak-kanak.
“Ia dirangka bagi menjawab cabaran semasa termasuk risiko keganasan, pengabaian, eksploitasi, kesihatan mental, jurang digital dan ancaman keselamatan dalam talian kanak-kanak.
“Malah turut menekankan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian serta perlindungan terhadap ancaman siber melalui pendidikan literasi digital, kerjasama industri teknologi, dan penyelarasan undang-undang selaras dengan standard antarabangsa,” katanya.-BH Online
