Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 18 November – Rang undang-undang (RUU) utama berkaitan reformasi institusi, iaitu Ombudsman, Akta Kebebasan Maklumat (FOI), RUU Pembiayaan Politik, serta pemisahan kuasa Peguam Negara dan Peguam Cara Negara, kini berada pada peringkat akhir proses libat urus dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri berkaitan telah membentangkan keputusan dasar kepada Jemaah Menteri untuk diluluskan sebelum dilanjutkan kepada fasa seterusnya.

“Keempat-empat pihak kini terlibat dalam proses libat urus RUU, termasuk Parlimen, komuniti, peguam dan pelbagai pihak lain sebelum dimuktamadkan. Menteri menjangkakan sebahagian RUU boleh dibentangkan awal tahun depan, manakala selebihnya pada pertengahan tahun, ” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perkembangan terkini reformasi institusi perundangan melalui penggubalan RUU tersebut dalam usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pemantauan terhadap pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dijalankan secara berkala, dengan beberapa cadangan langkah diberi perhatian.

Menurut Datuk Seri Anwar cadangan itu termasuk pemberian insentif cukai kepada badan-badan yang menyertai program antirasuah secara berkesan dan agresif, selain penetapan kadar elaun kepada saksi yang bersedia memberi kerjasama.

“Setakat ini kejayaan mengumpul RM15.5 bilion untuk kantung negara adalah hasil tindakan penguatkuasaan tegas melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status terkini pelaksanaan NACS melalui pengukuhan lima strategi teras, seiring usaha kerajaan meningkatkan tatakelola dan memerangi rasuah secara tegas dan adil tanpa pilih kasih.- Berita RTM