KUALA LUMPUR, 18 November -Industri minyak sawit global terus berkembang kukuh, didorong oleh permintaan tinggi dari Indonesia, Amerika Latin dan Afrika.
Aktiviti berkenaan sekali gus merangsang perdagangan serta peluang ekonomi di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkembangan positif itu dipacu oleh keperluan industri, tahap kecekapan yang semakin baik serta pelaksanaan inisiatif kelestarian yang menyeluruh.
“Sub-Sahara Afrika dan ASEAN juga menunjukkan peningkatan permintaan. Dengan pensijilan MSPO yang kukuh serta kebolehkesanan penuh, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang tersebut. Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang diwajibkan sejak 2020 dan diperkukuh di bawah MSPO 2022, kekal sebagai tonggak kredibiliti kita.
“Ia merangkumi prinsip ESG yang menyeluruh di peringkat ladang, kilang dan pekebun kecil”, katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Minyak Sawit Antarabangsa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.
Tambah beliau, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–EFTA (MEEPA) yang dimeterai pada Jun 2025 menjadi pencapaian penting kerana ia membuka akses kepada minyak sawit negara sekali gus menyepadukan keperluan kemampanan dengan aktiviti perdagangan.
“Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–UAE CEPA, yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025, memperluas kehadiran Malaysia di Timur Tengah, sebuah wilayah yang semakin penting bagi produk hiliran berasaskan sawit,” katanya lagi.
Jelas beliau, Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit, iaitu sebanyak 24 peratus daripada pengeluaran global pada 2024 dan 35 peratus kepada eksport global.-BH Online
