Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KENINGAU: Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China bagi memastikan keselamatan negara serta kepentingan rakyat terus terpelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata meskipun Malaysia bukan negara besar atau kaya, pemimpin utama dunia tetap menganggap negara ini sebagai rakan penting, bukti melalui beberapa pertemuan dan komunikasi peringkat tinggi baru-baru ini.

Beliau berkongsi bahawa Presiden AS, Donald Trump, menghubunginya dua hari lepas, satu penghormatan yang mencerminkan kedudukan Malaysia dalam hubungan antarabangsa.

“Saya bangga bukan kerana diri saya, tetapi kerana Malaysia dilihat sebagai negara penting oleh pemimpin besar dunia. Kita jalin hubungan baik dengan AS, baik dengan China, Semua ini untuk kepentingan rakyat, memastikan keselamatan mereka. Kalau negara-negara besar bergaduh dan kita terlibat, kita juga akan susah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpinan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid di Padang Kampung Menawo Ulu, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata ketika menghadiri mesyuarat antarabangsa di Korea Selatan baru-baru ini, Presiden China Xi Jinping memuji keupayaan Malaysia mengurus hubungan baik dengan Washington.

“Jadi saya bertemu Presiden Xi Jinping. Saya tanya, Presiden, bagaimana pertemuan dengan Presiden Trump? Beliau kata, kerana kita menjaga hubungan dengan Trump, beliau gembira, suasana jadi mesra dan rundingan lebih lancar,” katanya.

Anwar turut menempelak tindakan pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN), yang memperlekehkan kunjungan Trump ke Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan bulan lepas.

“Tunjuk hubungan baik, ada yang marah, PAS, PN persoalkan, ‘Apa ini Anwar? Amerika tidak bagus. Kau menari dengan mereka.

“Yang penting, kita bincang dengan mereka untuk jaga hubungan baik dengan semua negara. Negara ini aman kerana kerjasama pasukan keselamatan dan kestabilan politik kita,” kata Perdana Menteri.– BERNAMA