KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja menegaskan semula komitmen kedua-dua negara terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memastikan pelaksanaan penuh secara berkesan perjanjian berkenaan.
Katanya, komitmen kedua negara itu dicapai menerusi perbualan telefon empat pemimpin antara beliau, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
“Kami juga bersetuju supaya kemajuan bermakna perlu dicapai dalam isu menyahaktif periuk api, tanpa membabitkan sebarang bentuk kerjasama perdagangan.
“Saya juga menghargai komitmen peribadi dan pembabitkan aktif berterusan Trump bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Isnin lalu, Kerajaan Thailand menggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja, susulan insiden letupan periuk api berhampiran sempadan yang mencederakan dua anggotanya.
Perjanjian itu dimeterai dengan pemantauan Trump pada akhir Oktober lalu, bagi menamatkan krisis berpanjangan selepas pertempuran sempadan pada Julai lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 43 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk kedua-dua negara dipindahkan.
Selasa lalu, Anwar n itu pada Selasa, menafikan penggantungan perjanjian damai Thailand-Kemboja berpunca akibat peranan Malaysia membantu memuktamadkan pemeteraian persetujuan berkenaan.
Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, ketetapan Bangkok itu dibuat selepas mengambil kira gesaan supaya Kemboja mematuhi sepenuhnya perincian perjanjian yang bakal membawa kepada pembebasan 18 tahanan oleh Thailand.
Anwar juga menafikan dakwaan penggantungan itu dibuat susulan dakwaan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap yang mendakwa Malaysia dan Perdana Menteri sebagai ‘tangan ghaib’ menentukan hala tuju dan pelaksanaan rundingan damai.
Selain itu, tegasnya, Anutin tidak pernah mempertikai tanggungjawab dan peranan Malaysia sebagai pengantara bagi perjanjian itu, seperti dinyatakan dalam mesej kepada beliau, baru-baru ini.-BH Online
