Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTATAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi Sabah supaya menilai rekod dan kemampuan sebenar calon ketika membuat pilihan sambil menegaskan keputusan politik tidak seharusnya dipengaruhi sentimen kaum atau emosi yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.

Perdana Menteri berkata Sabah memerlukan barisan wakil rakyat yang konsisten bekerja, memahami keperluan rakyat dan mempunyai rekod jelas dalam menyelesaikan isu asas seperti air, elektrik, pendidikan serta kebajikan masyarakat, khususnya di luar bandar.

“Jangan ikut marah, jangan ikut sentimen kaum yang tak betul takkan selamat negara. Mana negara di dunia ini yang boleh aman kalau masing-masing bunuh kaumnya masing-masing. Kamu majoritikah? Kamu minoritikah?,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Mega PMX Sayang Sabah di DUN Petagas, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; dan Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah ke-17, Awang Husaini Sahari.

Anwar yang juga Pengerusi PH menjelaskan rakyat wajar memberi keutamaan kepada calon yang mempunyai bukti perkhidmatan dan sumbangan, bukan kelompok yang hanya tampil ketika musim pilihan raya dengan retorik yang tidak disokong rekod pentadbiran.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata pendekatan politik yang hanya menimbulkan perpecahan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

“Agama apa? Ada Islam, ada yang Kristian. Kawan apa? Ada Melayu, ada Cina, ada Iban, ada Kadazan. Ada Murut, ada Bugis, ada Suluk. Tapi semuanya anak Sabah. Orang Sabah dan anak Malaysia ini semangatnya harus ada,” katanya.

Anwar berkata perjuangan sesebuah kerajaan mestilah ditandai keikhlasan dan kerja berterusan untuk rakyat bukan bersandarkan jawatan atau kepentingan peribadi.

Beliau berkata, wakil rakyat mesti memahami bahawa mandat yang diberikan adalah amanah untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjamin masa depan generasi muda.

“Jadi wakil rakyat untuk apa? Untuk jaga ikhlas bela nasib rakyat jaga anak-anak kita, jaga masa depan kita. Saya bukan cakap janji. Tak. Saya dah tiga tahun jadi Perdana Menteri, 10 tahun tunggu, naik turun mahkamah, masuk keluar penjara, kena pukul setengah mati, sekarang Perdana Menteri buatlah kerja,” katanya.

Dalam pilihan raya kali ini, Awang Husaini berdepan saingan 10 penjuru di kerusi Petagas yang membabitkan antaranya calon dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN) serta beberapa calon Bebas, sekali gus menjadikan kawasan itu antara saingan paling sengit.-BH Online